Followers

Monday 22 August 2011

Artikel: Dosa Dan Taubat

‘Dah solat belum?’ lembut ibu aku bertanya. Sungguh aku tergamam dengan pertanyaan ibu dan bagi tidak membuatkan ibu aku akan berleter panjang aku hanya mengiakan sedangkan sedikit pun telekung putihku tidak berganjak dari tempat penyidaian. Teruknya aku dan itu ketika aku masih sesat dengan mengagungkan bisikan syaitan berbanding melihat kewajipan aku sebagai umat Islam. Betapa tidak aku fikir berapa banyak dosa yang aku telah lakukan dengan meninggalkan yang wajib dan menipu pula ibuku ketika itu.

Aku raup wajahku dengan kedua belah tapak tanganku. Berdosanya aku selama ini yang telah pun baligh ketika itu, sudah cukup akal untuk membezakan baik dan buruk tetapi kenapa aku masih ke jalan yang salah? ibubapaku ke yang bersalah? tidak,mereka telah memberikan aku didikan agama yang sangat mencukupi. Kepada siapa aku nak salahkan lagi? kepada pendidik aku ke? tidak,mereka semua memberikan pendidikan yang sewajarnya yang tidak melanggar hukum agama. Kepada sahabat-sahabat aku? kalau aku tahu mereka pilih jalan yang salah kenapa aku mengikut mereka? aku yang salah selama ini, aku yang salah!

Enaknya aku menikmati syurga dunia ketika mula aku meningkat ke usia akhir remaja, berlibur bersama sahabat-sahabat yang bukan selayaknya jadi sahabat. Apa yang mereka lakukan aku ikut dan melakukannya juga. Bermula sebatang rokok kemudian kejahatan itu meningkat lagi, aku berani pula meneguk ‘air syaitan’ itu dan melepak bersama pergaulan lelaki perempuan menjadi kebiasaan hujung minggu. Dunia aku bergelumang dengan dosa berat!bertambah berat bila benih haram yang telah bercambah dalam rahimku ini akan aku bunuh setelah kelahirannya, singkat sungguh pemikiran aku mahu jadi pembunuh pula.

Bukan aku tidak kasihan melihat bayi aku tetapi kerana hati aku telah dipenuhi bisikan syaitan, aku campak bayi aku ke sungai tanpa belas kasihan. ‘Maafkan ibu anakku,baru kini ibu rasa ingin peluk dan mencium pipimu tetapi ibu telah membunuhmu dengan kejam!ibu kejam dan sangat kejam!maafkan ibu anakku.’ Kenapa baru kini aku baru nak fikir dosa-dosa aku?kenapa tidak sejak aku dikurniakan akal, aku tidak berfikir dengan betul?sedangkan pada ketika itu bukan aku tidak tahu jalan yang aku pilih itu salah.

Segalanya kuasa Allah,DIA memberikan aku hidayah. Pada malam selepas aku membunuh bayiku, aku terrmimpikannya, sucinya wajah bayiku, dia kesejukan dan merengek seperti meminta aku memeluknya namun aku tidak berdaya, aku seperti dipenjara di sebuah penjara yang panas dan hapak. Aku menangis minta dilepaskan dan ingin sangat memeluknya namun tiada siapa mahu membantu aku mendapatkan bayi aku. Aku menangis dan terus menangis seperti aku benar-benar seorang ibu bukan seperti pembunuh bayi itu. Aku terjaga dan benar pipiku dibasahi air mata, aku termangu dan saat itu terimbas satu demi satu dosa-dosa aku,banyak dan baruku sedar betapa besarnya dan tidak terhitung banyaknya dosa aku selama ini.Ku raup wajahku dengan penuh rasa penyesalan yang tidak terhingga.

Dengan sedikit ingatan yang ada suatu tika dulu bila ibuku mengajar aku bagaimana mengambil wudhuk ketikaku kecil dahulu,aku basahi bahagian tubuhku bersama dengan linangan air mata taubat. Aku mencapai telekung yang tersorok dalam almari yang telah lama aku tinggalkan dan hanya dipamerkan apabila ibubapaku datang menjenguk aku di rumah sewa ini.Aku sarungkan ke tubuhku,aku mengangkat takbir dan lama aku diam kerana aku sendiri sudah lupa bacaan surah Fatihah,lidah aku telah keras lantas terus aku sujud.Lama aku sujud merintih memohon keampunan.Aku malu untuk mengangkat wajahku kepada Yang Maha Esa.

Kalaulah aku pilih jalan yang benar, tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama yang merupakan sumber kekuatan iman tembok segala kejahatan, pasti aku bukan penipu, aku bukan pembunuh, aku bukan pendosa besar dan aku bukan dikalangan orang-orang yang kufur. Aku merintih lagi dengan pengharapan moga terampun segala dosa-dosaku selama ini.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun kepada umatnya selagi belum hadirnya kiamat.Bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka dan jangan sesekali meninggalkan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan. Sesungguhnya solat itu sumber kekuatan iman dan tembok segala kejahatan. Hadis Rasulullah SAW menjelaskan: ‘Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.’ (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Bertaubatlah sebelum pintu taubat tertutup.Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tiada gunanya. Beringat-ingat dan beramal lah,InsyaAllah semoga anda ditempatkan di golongan orang-orang mukmin di akhirat sana.



No comments:

Post a Comment