Followers

Thursday 29 December 2011

Cara Selesai Setiap Masalah


Setiap manusia itu mempunyai masalah, waima para Nabi juga tidak terlepas mendapat masalah. Masalah itu kan dugaan atau ujian yang Allah SWT beri untuk tambahkan pahala kita, untuk bekalan kita di akhirat yang abadi apabila kita sabar di dunia tetapi di sini masalah itu bukan persoalannya. Persoalannya bagaimana kita mahu menangani masalah itu? bagaimana mahu lari daripada masalah yang membelenggu hidup kita sehari-hari. Tidur berhari-hari biar masalah itu hilang sendiri?  tapi sampai bila kita mampu pejamkan mata selagi masalah itu tidak selesai atau kita cerita kepada orang lain masalah itu, orang lain boleh mendengar dan menasihati tetapi tidak mampu untuk selesaikan masalah kita sebab mereka pun ada masalah mereka juga. Bunuh diri? Astaghfirullahal’azim, minta di jauhkan kita daripada golongan munafik itu.

Pada saya caranya mudah sahaja, mahu atau tidak kita kena juga hadapinya. Sampai bila kita mahu lari daripada masalah selagi kita tidak selesaikannya. Selagi kita biarkan satu masalah itu tidak di selesaikan, semakin banyaklah masalah yang lain akan datang. Saya tertarik dengan kata-kata motivasi daripada En. Mohd Rizal Hassan salah seorang Fasilitator saya semasa saya mengikuti latihan siswazah di Permodalan Nasional Berhad sebelum ini, petikan yang pendek tetapi cukup berkesan ‘ Every problem has a solution, Every solution begins with me!’. Anda boleh nampak bukan, setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya dan setiap penyelesaian itu bermula dengan kita. Bermakna kitalah kena bertindak dengan sendiri untuk selesaikannya sendiri dan bukan orang lain.

Tidak perlu lari daripada masalah, lebih jauh kita lari daripada masalah, lebih dekat masalah itu datang kepada diri kita malahan masalah itu mungkin akan membawa lebih banyak masalah-masalah yang lain. Ibarat juga seperti sudah jatuh di timpa tangga, begitulah masalah yang lain datang kepada kita. Masalah apa yang anda hadapi? kerja? kewangan? Cinta? belajar? dan apa sahaja masalah, sila hadapinya dan cuba untuk selesaikannya. Bercakap nampak mudah, mahu lakukan ingat mudah, saya tahu itu yang ada dalam fikiran anda, buang yang negatif, kita berfikir secara positif sebab kita mahu selesaikan masalah, bukan menambah masalah.

Saya ambil contoh untuk masalah cinta sebab saya tahu, manusia itu semua ada hati dan perasaan, perasaan ingin di cintai, perasaan mahu bercinta, segala perasaan dan perasaan lah. Kebanyakan masalah putus cinta kerana kekasih curang, kerana kekasih tidak menghargai, kerana kekasih itu, kerana kekasih ini. Beginilah, yang sudah berlalu biarkan ia pergi walau sakit hendak hadapinya, rawatlah hati, tidak perlu berendam air mata kepada yang tidak sudi, rugilah air mata kita yang berharga itu. Kita hadapinya dengan tenang, kita beri semangat kepada diri kita sendiri, kita tanam kepada diri kita, kita pun boleh bahagia, jangan tanam benci kerana selagi kita membenci dia, selagi itu rasa kasih kita akan mendalam, percayalah. Maafkan sahaja si dia, dan kita teruskan hidup kita seperti biasa, kita berkawan dengan semua orang dan bila kita dapat buat orang tersenyum, kita juga tersenyum bermakna masalah kita telah pun selesai.

Anda tidak dapat menerimanya? terpulanglah kerana saya boleh beri nasihat sahaja, yang boleh selesaikan masalah anda itu hanya anda sendiri. Ingat, penyelesaian itu bermula daripada kita sendiri. Selamat menghadapinya dan menyelesaikan dan lebih berkesan bersama doa yang tidak putus. Allah tidak pernah menghampakan doa hamba-Nya selagi kita meminta tanpa putus asa. Namun ingat sesuatu, apa yang terjadi ada hikmahnya. Duri hari ini mungkin bunga esoknya, terimalah segala ketentuan dengan tenang.

Monday 24 October 2011

Tanda Wanita itu Suka Kepada Lelaki


Kenapa kita takut untuk meluahkan perasaan? Kerana kita takut di tolak mentah-mentah, takut malu, takut hendak menerima jawapan yang mengecewakan sebab kerana apa? kerana kita tidak pernah untuk berani berhadapan dengan cabaran. Kalaulah kita berani sahut cabaran, mungkin usaha kita itu tidak sia-sia. Mana tahukan kita tidak bertepuk sebelah tangan, jadi ayuh kita beranikan diri untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam hati agar kita tidak terus di bayangi bayang-bayangnya tetapi memiliki realiti di hadapan mata. Hati serta fikiran tidak lagi terus memberikan kerungsingan kerana yang pasti jawapan telah pun terjawab.

Kalau cinta kita ditolak, tidak bermakna dunia cinta kita berakhir, sebenarnya itu satu peluang untuk kita mencari cinta sejati kita lagi dan yang lebih penting, kita tidak terus membuang masa mengejar bayang-bayang bertahun lamanya. Kita lupa yang peluang kita masih banyak lagi disebabkan kita berharap sesuatu perkara yang sebenarnya tidak akan pernah jadi dengan sendirinya tanpa usaha. Memendam perasaan tidak boleh di bawa ke mana, hanya kesakitan yang kita akan rasai dengan pelbagai persoalan yang bersarang di minda. 

Baik wanita mahupun lelaki adalah makhluk yang sama, yang ada hati dan perasaan antara satu sama lain. Mungkin wanita sifat malunya itu lebih terserlah kerana dia adalah wanita yang memang dikurniakan sifat malu agar dia dapat menjaga diri dan maruahnya. Maka oleh itu, wanita memerlukan seorang lelaki yang benar-benar gagah untuk memulakan dahulu salam perkenalan. Dengan cara apa lelaki itu dapat mengenali bahawa wanita itu mempunyai perasaan yang sama? Iaitu :-

1)    Lihat pada percakapannya, kalau ada ‘hint’ dia sukakan anda walaupun dalam nada gurauan, memang benar wanita itu memaksudkannya.

2)    Lihat pada layanannya, kalau dia layan acuh tak acuh, itu bermakna dia memang tidak ada hati langsung dengan anda. Jika layanannya sentiasa ramah dan berjela-jela ceritanya, ternyata dia ada hati dengan anda.


3)    Lihat pada sikapnya yang mengambil berat terhadap diri anda, bila anda kata anda sakit dan dia hanya kata ‘semoga cepat sembuh’ dan selepas itu tidak lagi pedulikan anda, ternyata dia memang tidak ada hati dengan anda melainkan, dia akan bertanya kepada selepas itu samada anda sudah sembuh atau belum, itu menunjukkan memang benar dia ada hati juga dengan anda.

4)    Lihat pada ingatan wanita itu, kalau dia masih ingat perkara apa yang anda dan dia bualkan sebulan atau seminggu sebelum itu, ternyata dia memang ada perasaan dengan anda kerana banyak perkara wanita selalu fikirkan tetapi kenapa dia boleh ingat segala perbualan anda dengannya.

5)    Lihat pada berapa kerap dia datang bertemu anda, jika dalam sehari dia datang kepada anda untuk 3 kali berturut semata-mata untuk berbual dengan anda, ternyata dia benar-benar ada hati dengan anda (situasi ini biasanya satu tempat kerja)

6)    Lihat pada pandangan matanya kepada anda, bila dia sukakan anda,dia tidak pernah berani untuk bertentang mata dengan anda, dia akan menundukkan wajahnya dan mencuri pandang kepada anda bila anda tidak sedari.

7)    Lihat pada kekerapan perbuatannya seperti memberi anda cenderamata, makanan, dan apa sahaja yang boleh di kongsinya dengan anda walaupun dia turut beri kepada 2/3 orang yang lain (orang lain tu sebagai menutup rasa malu dia sahaja).

8)    Lihat juga pada bicaranya bila dia memuji dirinya di hadapan anda bahawa dia tahu serba serbi tentang urusan rumahtangga untuk anda mengkagumi dirinya.

9)    Lihat pada jenis senyumannya,andai senyumannya tanpa kata-kata bermakna dia kelu untuk berbicara dengan anda dan hanya mampu diluahkan melalui senyuman (biasa senyuman sekadar sahabat akan ada pertanyaan dan sebenarnya wanita memang susah hendak senyum dengan lelaki lagi-lagi lelaki yang tidak begitu rapat dengannya)

10) Lihat pada gerakannya, andai dia kelihatan gelabah dan tidak tentu arah bila anda menegurnya atau kata-katanya terabur, memang sah dia ada hati pada anda lagi-lagi bila anda usiknya dengan berkata sambil tersenyum ‘saya suka tengok awak’. Masa tu memang nampak ketara gelabahnya tetapi kalau dia tidak ada perasaan dengan anda, dia buat biasa sahaja dan gelak kuat-kuat sambil berkata ‘kau ni gilalah!’..

Mungkin 10  pendapat ini ada benarnya dan mungkin tidak kerana ianya bergantung juga kepada wanita itu mengawal emosinya agar tidak nampak dan kelihatan pada mana-mana lelaki kerana wanita juga mempunyai ego yang tinggi, sengaja mahu menduga dan terus menduga untuk melihat sejauh mana lelaki itu benar-benar sukakan dia. Akhir kata selamat mencuba.

Untuk Apa Dipendam Cinta Jika Hanya UntukTerus Merana Dan Tertanya-tanya

Saturday 24 September 2011

Mencari Cinta


Sering kali bila berkata tentang cinta, akan ada yang kata lebih baik kita menghargai orang yang mencintai diri kita daripada kita mencintainya. Ya, itu sememangnya benar tetapi salahnya bila hati kita tiada pada orang yang mencintai diri kita dan kita perlu menerima dia kerana dia mencintai diri kita. Kalau kita ada rasa suka padanya sedikit saya setuju dengan kata-kata ini kerana sekurang-kurangnya kita boleh pupuk rasa suka itu menjadi cinta berbanding langsung tiada perasaan dan kita menerimanya kerana dia mencintai diri kita. Akhirnya siapa yang akan merana? Kedua-duanya kerana yang seorang hipokrit boleh menerima tetapi layanannya acuh tidak acuh dan seorang lagi terus memberi tetapi tidak seperti di hargai. Pegakhiran yang benar-benar akhir, putus dan bercerai, sama sahaja bukan?..

Apa itu cinta? cinta itu adalah bila mana dua hati boleh menerima antara satu sama lain dan berbahagialah apabila kedua-duanya saling cinta mencintai kerana cinta itu adalah sesuatu yang dapat menerima kekurangan dan kelebihan pasangannya. Kalau sudah mencintainya pasti kita akan melakukan yang terbaik untuk dirinya tetapi masalah yang sering berlaku bila tiada hati padanya kita akan suka hati untuk melukakan orang yang mencintai diri kita kerana merasakan dia mencintai kita dan apa sahaja yang kita lukakan pada diri dia tidak menjadi masalah kerana dia mencintai diri kita.

Andai ingin di beri hati biarlah kepada insan yang benar mencintai diri kita dan kita juga boleh mencintai diri dia supaya kita tidak melukakan hatinya dan kerana itulah perlu adanya perkenalan sebelum memasuki fasa alam rumahtangga agar dapat kemudi rumahtangga dengan sebaiknya dan melayaninya dengan keikhlasan yang lahir dari hati bukan kerana terpaksa. Jangan risau dan rasa begitu terdesak untuk mencari teman hidup sehingga membuat pilihan yang salah kerana melihat sahabat-sahabat anda sudah berteman dan berumahtangga sedangkan anda belum punyai siapa-siapa.

Sebelum anda benar-benar menemui seorang teman yang dia mencintai anda dan anda juga bakal mencintai dirinya, berdoalah kepada Allah S.W.T tanpa henti minta ditemukan dengan lelaki/wanita yang terbaik untuk diri anda. Usah malu untuk meminta jodoh anda kepada Allah kerana doa bukan terhad untuk kesihatan dan rezeki. Minta seorang teman yang dapat anda mencintainya agar anda tidak menjadi di kalangan orang yang mengecewakan hati orang lain. Cinta tidak sukar di cari kalau niat kita bersih dan insyaAllah semoga anda menemui cinta hati anda.

                    CINTA ITU ADALAH KEIKHLASAN & KEJUJURAN

Monday 22 August 2011

Buat Bakal Imamku

Bakal Imamku,

Ingin aku menyatakan sesuatu di sini bahawa akan aku mencintaimu sehingga ke akhirat terus ke syurga kerana telahku berjanji sebelum menjadi suri hatimu akanku mencintai jodohku selamanya.Akan aku sempurnakan tugas rumahtangga dengan sebaik-baiknya agar aku bisa menjadi isteri yang solehah buatmu.Akan aku menjaga makan dan pakaimu agar dirimu sentiasa kenyang dengan masakanku dan pakaianmu sentiasa bersih serta berbau harum.Akan aku menjaga akhlakku agar maruahmu tidak tercalar dengan sikap burukku.Akan aku menjaga dan mendidik anak-anak pelengkap kehidupan rumahtangga kita ini dengan ilmu agama secukupnya agar mereka tidak akan sesekali menconteng arang ke mukamu.Akan aku gembirakan hatimu dengan tutur kata yang menawan dan menyenangkan.Akan aku menyayangi,menghormati dan menjaga kedua ibubapamu sepertimana aku lakukan kepada kedua ibubapaku.

Bakal Imamku,

Ingin aku nyatakan jua,tanganku yang akan menyalamimu selepas akad nikah nanti adalah tangan yang pertama menyentuh dan menyalami seorang lelaki yang bergelar kekasih padaku.Ku pertahankan tangan ini agar tidak sewenangnya dipimpin dan disentuh oleh insan yang pernah menjadi kekasihku keranamu suamiku.Ku pertahankan hanya untuk kekasih yang bergelar suami padaku sedemikian kamu yang pasti akan berbangga memiliki aku sebagai isterimu yang berjaya mengalahkan nafsu demi keimanan.

Bakal Imamku,

Ingin dinyatakan lagi,aku memilihmu sebagai suamiku bukan kerana harta,bukan kerana paras rupa melainkan kerana hatiku terpaut dengan ilmu agama yang ada padamu,dengan budi bahasamu,dengan sikap menghormati kepada orang yang lebih tua,dengan kesetiaanmu,dengan kematanganmu,dengan sikap penyayang dan pemurahmu,dengan rakan pergaulanmu dikalangan yang berilmu,dengan sikap tanggungjawabmu yang ditonjolkan,dengan sifatmu yang menawan hatiku dan keluargaku.Dengan keyakinan gerak hati setelah petunjuk diminta kepada Allah s.w.t,aku memilihmu sebagai pelengkap kepada diriku yang sentiasa memerlukan bimbingan daripada seorang pemimpin keluarga bergelar suami yang akan membawa aku mengecapi syurga.

Bakal Imamku,

Ingin ku mendengar lunak suaramu mendendangkan ayat-ayat suci Al-Quran mendodoikan aku sehingga aku tertidur lena bermimpikan nikmatnya syurga.Itu impian dan permintaanku padamu suamiku dan ku pasti suami,permintaanku ini tidak akanmu hampakan.Aku juga pasti rindukan untuk berjemaah setiap hari bersamamu dan menyalami tanganmu serta mendengar segala nasihatmu yang membuatkan aku sentiasa insaf dan lebih takut kepada-Nya berbanding takut kepada dugaan yang menghampiri diri ini.

Artikel: Dosa Dan Taubat

‘Dah solat belum?’ lembut ibu aku bertanya. Sungguh aku tergamam dengan pertanyaan ibu dan bagi tidak membuatkan ibu aku akan berleter panjang aku hanya mengiakan sedangkan sedikit pun telekung putihku tidak berganjak dari tempat penyidaian. Teruknya aku dan itu ketika aku masih sesat dengan mengagungkan bisikan syaitan berbanding melihat kewajipan aku sebagai umat Islam. Betapa tidak aku fikir berapa banyak dosa yang aku telah lakukan dengan meninggalkan yang wajib dan menipu pula ibuku ketika itu.

Aku raup wajahku dengan kedua belah tapak tanganku. Berdosanya aku selama ini yang telah pun baligh ketika itu, sudah cukup akal untuk membezakan baik dan buruk tetapi kenapa aku masih ke jalan yang salah? ibubapaku ke yang bersalah? tidak,mereka telah memberikan aku didikan agama yang sangat mencukupi. Kepada siapa aku nak salahkan lagi? kepada pendidik aku ke? tidak,mereka semua memberikan pendidikan yang sewajarnya yang tidak melanggar hukum agama. Kepada sahabat-sahabat aku? kalau aku tahu mereka pilih jalan yang salah kenapa aku mengikut mereka? aku yang salah selama ini, aku yang salah!

Enaknya aku menikmati syurga dunia ketika mula aku meningkat ke usia akhir remaja, berlibur bersama sahabat-sahabat yang bukan selayaknya jadi sahabat. Apa yang mereka lakukan aku ikut dan melakukannya juga. Bermula sebatang rokok kemudian kejahatan itu meningkat lagi, aku berani pula meneguk ‘air syaitan’ itu dan melepak bersama pergaulan lelaki perempuan menjadi kebiasaan hujung minggu. Dunia aku bergelumang dengan dosa berat!bertambah berat bila benih haram yang telah bercambah dalam rahimku ini akan aku bunuh setelah kelahirannya, singkat sungguh pemikiran aku mahu jadi pembunuh pula.

Bukan aku tidak kasihan melihat bayi aku tetapi kerana hati aku telah dipenuhi bisikan syaitan, aku campak bayi aku ke sungai tanpa belas kasihan. ‘Maafkan ibu anakku,baru kini ibu rasa ingin peluk dan mencium pipimu tetapi ibu telah membunuhmu dengan kejam!ibu kejam dan sangat kejam!maafkan ibu anakku.’ Kenapa baru kini aku baru nak fikir dosa-dosa aku?kenapa tidak sejak aku dikurniakan akal, aku tidak berfikir dengan betul?sedangkan pada ketika itu bukan aku tidak tahu jalan yang aku pilih itu salah.

Segalanya kuasa Allah,DIA memberikan aku hidayah. Pada malam selepas aku membunuh bayiku, aku terrmimpikannya, sucinya wajah bayiku, dia kesejukan dan merengek seperti meminta aku memeluknya namun aku tidak berdaya, aku seperti dipenjara di sebuah penjara yang panas dan hapak. Aku menangis minta dilepaskan dan ingin sangat memeluknya namun tiada siapa mahu membantu aku mendapatkan bayi aku. Aku menangis dan terus menangis seperti aku benar-benar seorang ibu bukan seperti pembunuh bayi itu. Aku terjaga dan benar pipiku dibasahi air mata, aku termangu dan saat itu terimbas satu demi satu dosa-dosa aku,banyak dan baruku sedar betapa besarnya dan tidak terhitung banyaknya dosa aku selama ini.Ku raup wajahku dengan penuh rasa penyesalan yang tidak terhingga.

Dengan sedikit ingatan yang ada suatu tika dulu bila ibuku mengajar aku bagaimana mengambil wudhuk ketikaku kecil dahulu,aku basahi bahagian tubuhku bersama dengan linangan air mata taubat. Aku mencapai telekung yang tersorok dalam almari yang telah lama aku tinggalkan dan hanya dipamerkan apabila ibubapaku datang menjenguk aku di rumah sewa ini.Aku sarungkan ke tubuhku,aku mengangkat takbir dan lama aku diam kerana aku sendiri sudah lupa bacaan surah Fatihah,lidah aku telah keras lantas terus aku sujud.Lama aku sujud merintih memohon keampunan.Aku malu untuk mengangkat wajahku kepada Yang Maha Esa.

Kalaulah aku pilih jalan yang benar, tidak meninggalkan solat yang merupakan tiang agama yang merupakan sumber kekuatan iman tembok segala kejahatan, pasti aku bukan penipu, aku bukan pembunuh, aku bukan pendosa besar dan aku bukan dikalangan orang-orang yang kufur. Aku merintih lagi dengan pengharapan moga terampun segala dosa-dosaku selama ini.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun kepada umatnya selagi belum hadirnya kiamat.Bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka dan jangan sesekali meninggalkan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan. Sesungguhnya solat itu sumber kekuatan iman dan tembok segala kejahatan. Hadis Rasulullah SAW menjelaskan: ‘Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.’ (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Bertaubatlah sebelum pintu taubat tertutup.Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tiada gunanya. Beringat-ingat dan beramal lah,InsyaAllah semoga anda ditempatkan di golongan orang-orang mukmin di akhirat sana.



Tuesday 16 August 2011

Bila patah hati ....


Sakitnya perasaan ini, puas dipujuk hati yang telah di lukai ini. Bukan sedikit air mata ini keluar malahan sudah seperti empangan pecah jadinya namun tiada yang mampu menahannya. Setiap kali memandang katil, air mata mulalah mahu merembes keluar kerana di situlah kenangan yang mana saat itu duduknya diriku membalas mesej dan menjawab panggilan telefon si dia tetapi kini katil itu juga kaku sepertiku. Buka radio dengar pula lagu-lagu putus cinta, lagilah mengalir air mata ini. Aku benci dia! Benci dia! Kenapa sanggup dia mencurangi aku?! yang jadi mangsa bantal di atas katil kaku itu, habis robek dengan kuku ‘pontianak’ ku ini. 

Dunia rasakan bagai tidak bernyawa, hanya yang ada kesuraman membelenggu jiwa, tiap kali mata terbuka, yang terbayang wajah si dia, puas diusir ia tetap menjelma bagaikan mengejek diri ini. Nasihat mencurah hanya di biarkan masuk telinga kanan tembus telinga kiri, hidup bagaikan mahu mati, itu jalan penyelesaian yang lebih baik. Makan minum langsung di biarkan, di seksa tubuh badan yang minta di isi, kejamnya hati menguasai diri sehingga fikiran langsung tidak berpeluang mencelah agar rasional kembali berada sama di hadapan.

Itulah kita bukan bila patah hati, semuanya jadi tidak keruan kerana cinta kekasih yang awalnya janji hidup semati tetapi bila sudah puas dapat mempermainkan perasaan kita, janji itu jadinya ibarat menanam tebu di pinggir bibir. Senangnya insan yang menjual cinta dengan murah sekali pada sesiapa yang mahu dipermainkan olehnya. Lebih mudah dan kata pasarnya ‘test market’. Tidak tahukah balasan itu pasti ada, mungkin setelah permainkan perasaan orang lain anda boleh kecapi bahagia lagi tetapi selamanyakah kebahagiaan yang akan anda kecapi? 

Yang dikecewakan, usah kecewa dengan cinta murahan itu, murah sangat harganya untuk di bayar dengan air mata berharga anda itu. Bangkit dan bangunlah, beri peluang kepada fikiran untuk ke hadapan menegakkan rasional, mematikan emosi yang datangnya daripada hati yang biasanya beri jalan yang salah. Ambil segala nasihat yang di beri untuk bina jati diri anda agar lebih matang menempuh kehidupan akan datang bukan menangisi apa yang telah berlaku.Yang berlaku, biarkan ia berlalu dan terus lenyap bersama angin yang bersama sebelum ini.

Saat anda mula goyah dan mahu teresak-esak menangis, segera berwudhuk dan capailah Al-Quran penyembuh segala penyakit termasuk penyakit hati yang sedang patah. Bacalah bait demi bait dan jika anda tidak begitu yakin untuk membaca kerana kurang lancar untuk menyebutnya , bacalah terjemahannya dan jika terjemahan juga tidak ada bersama, beristighfar serta berzikir lah dengan rasa tawaduk kepada Allah. InsyaAllah, Allah akan menghapuskan duka yang mengelilingi anda yang sedang patah hati. Istiqamah agar anda terus mendapat penyembuhan segera mungkin. Apa yang lebih penting, jagailah solat lima waktu dan selalulah berdoa agar di beri ketenangan hati.InsyaAllah semua akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

   
                       

Saturday 13 August 2011

Surat Buat Jodohku..


Assalammualaikum jodohku,

Yang gagah menjunjung Al-Quran,
Yang manis kata dengan Zikrullah,
Yang bergaya melangkah ke rumah Allah,
Yang  tampan dengan basahan wudhuk,
Yang merdu suara melaungkan azan,
Yang mesra dengan ucapan ‘Assalammualaikum’,
Yang kacak dengan keperibadian mulia,
Yang galak menutup pandangan memandang perkara lagha,
Yang sempurna menjadi lelaki soleh.                                     

Idamku padamu,
Dapat memimpinku menuju ke syurga Ilahi,
Dapat mendengarkan suaramu mengalun merdu bacaan Al-Quran,
Dapat ucapan cinta yang mengingatkanku akan Allah,
Dapat mengajakku berjemaah di rumah Allah,
Dapat hadiah ikhlas darimu sepasang telekung,
Dapat memujukku dengan kata-kata hikmah Allah,
Dapat mengingatkanku akan dosa kecil dan besar,
Dapat memujiku menawan dengan jilbab yang tertutup rapi,
Dapat membuatku rindu selalu dengan cinta Allah.

Penutup kata,
Moga rumahtangga kita dilimpahi dengan cahaya Ilahi.
Moga kita dikurniakan anak yang soleh dan solehah,
Moga kita kaya dengan kasih sayang Allah,
Moga kita memiliki hiasan rumah seperti rumah Allah,
Moga kita dapat menghidupkan malam romantik kita dengan Tahajjud,
Moga kita tetap kekal selamanya kerana cinta kita kepada Allah.
InsyaAllah..Amin.

Cintaku padamu kerana Allah