Followers

Wednesday, 13 July 2011

CERPEN 2: Kerana Ayah, Aku Membencimu...

Besar kasihmu kepadaku membuatku jatuh cinta padamu

Tidak akan pernah ku putus asa untuk memiliki hatimu

Suria meletakkan beg sekolahnya di atas katil setelah pulang dari sekolah. Perutnya berkeroncong minta di isi.Ke manalah ibunya, daripada tadi tidak kelihatan,jika ibunya keluar, mengapa pintu tak berkunci?, terlupakah ibunya mengunci pintu? 'Ke mana ibu ni?' getusnya di dalam hati. Kedengaran suara tangisan seseorang di dapur. 'Ibukah itu?' segera Suria ke dapur. “ Ibu, kenapa ibu menangis?” tanyanya kepada ibunya. “Eh, bila Suria pulang sayang?” segera ibu mengelap air matanya dan tersenyum. "Ibu..” Suria meminta balasan pada pertanyaan dia tadi dan ibunya seperti memahami. “Tiada apa-apa sayang, ibu teringat arwah nenek Suria je”. Pembohongan apakah ibu lakukan ini, arwah neneknya sudah lama meninggal dan selama ini pun ibunya redha menerima 'pemergian' arwah nenek.

“Ibu..,ibu tak boleh tipu Suria tau. Ibu beritahulah Suria kenapa ibu menangis?”.Suria meminta simpati ibunya agar berterus terang dengan punca sebenar ibunya menangis. “Tiada apa-apa sayang.Suria lapar kan,mari ibu ambilkan Suria nasi ye”. Sengaja ibunya mengubah topik perbualan.Suria mengalah,ibunya selalu begitu jika di tanya.Suria termenung sendiri dan berfikir mencari jawapan kepada tangisan ibunya selama ini.Ibunya tidak lagi ceria seperti dulu,wajah ibunya pun dah semakin cengkung.Suria tak suka melihat tangisan ibunya,dia sangat sayang kepada ibunya dan selama ini dia tak pernah buat ibunya menangis kerana betapa kasihnya pada ibunya.Adakah ada silapnya yang membuatkan ibunya menangis namun tak diberitahu kepadanya?

Suria bingkas bangun mahu bertanya kepada ibunya,andai ada silapnya,dia mahu memohon maaf. “Minta maaf ibu,boleh Suria bertanya kepada ibu?” tika itu ibunya sedang menonton televisyen namun Suria tahu ibunya tidak tumpu pun pada televisyen tersebut, ibunya kelihatan termenung jauh memikirkan sesuatu mungkin juga mengenangkan sesuatu. “Boleh sayang, tanyalah” balas ibunya dengan senyuman.Indahnya senyuman ibu,patutlah ayah memilih ibu sebagai isterinya.  “Ibu,Suria ada buat salah dengan ibu ke? kalau ada Suria mohon maaf ibu.” Suria menggenggam erat tangan ibunya. “Suria,jangan kata begitu sayang. Suria anak yang baik.Suria tiada salah apa-apa sayang”, ibunya segera memeluk Suria dan mereka berdua sama-sama menangis.

Baru Suria sedari,sejak dua minggu kebelakangan ini,ayahnya tiada di rumah namun selama ini Suria hanya berfikir yang ayahnya ‘out station’ tetapi biasanya seminggu sahaja,ini sudah masuk dua minggu sudah.Semasa Suria pulang tadi,Suria ada terdengar Cik Mah dan Cik Piah berbual tentang kecurangan suami sekarang dan apabila dia melintasi ,mereka terus senyap dan tersenyum sahaja kepadanya.Apa yang mereka sorokkan daripadanya,dia tidak tahu,bukannya ada kena mengena dengannya pun,teruskan sahajalah perbualan itu. Kelihatan kereta ayahnya di hadapan rumah. Ayahnya sudah pulang namun perjalanan Suria terhenti apabila terdengar ibunya menangis dan ayahnya pula membentak marah.“Mengapa abang lakukan begini pada Hani,abang?apa salah Hani abang?” ibunya merintih hiba.“Ah,awak ni tak habis-habis menangis,bosan saya tahu tak! dah saya sayangkan dia,tak kan tak boleh saya mengahwininya?!”.

Bagai halilintar menyambar saat itu bila Suria mendengarnya.Air matanya mengalir laju.Sampai hati ayah menduakan ibunya.Apa kekurangan ibunya?cantik,bijak menguruskan rumah tangga,serba serbi sempurna dalam rumahtangga malahan dia tak pernah lihat ibunya meninggikan suara mahupun meminta yang bukan-bukan daripada ayah. Sejak itu, Suria mula membenci ayahnya.Dia tidak lagi rapat dengan ayahnya sepertimana dulu.Dia tidak rela melihat ibunya menerima keadaan sebegitu.Dia bukan sahaja membenci ayahnya malahan dia benci dengan semua lelaki. Lelaki baginya tidak tahu letakkan kesetiaan, tak pernah puas dengan satu.Ayahnya bukan sahaja tak setia malahan tidak adil dalam perkahwinan.Selalu sahaja ayah melebihkan isteri mudanya.Ibunya pula sekarang mula tabah dan telah belajar terima hakikat bermadu namun bukan dia.

Dia benci dengan ayahnya namun dia bangga serta bertuah memiliki ibu seperti itu ,tidak pernah memburukkan suaminya malahan tidak pernah menuntut cerai. Jika isteri orang lain, belum pasti sudah segera memohon cerai. Ibu bukan tak cantik,malahan dia masih ingat lagi,ada yang cuba menggoda ibu namun ibu tidak pernah hiraukan walau kaya dan kacaknya lelaki itu.Sepatutnya ayah tahu bersyukur memiliki isteri seperti ibu. Suria kini telah meningkat dewasa dan berjaya menjejakkan kakinya ke menara gading.Dia seorang anak yang terlalu baik,bersopan santun,bijak dan disenangi ramai namun dia menjadi perbualan di kalangan pelajar lelaki kerana kesombongannya. Suria tidak kisah apa yang pelajar lelaki nak gelarkan dia pun kerana dia memang teramat bencikan lelaki,teramat benci kerana kebenciannya pada ayahnya membuatkan dia rasa semua lelaki sama sahaja. Ibunya pernah menasihatinya supaya tak membenci ayahnya namun dia hanya mengiakan tapi tidak di hatinya.

“Aku rasa,aku dah jatuh cinta lah dengan Suria tu,budak perempuan yang sombong tu” Shahid memberitahu sahabatnya Zul akan perasaannya itu.“Gila kau,tak kan dia layan kau lah!”terjengil mata Zul dengan pengakuan Shahid itu.Sudah berapa ramai cuba menarik hati Suria namun tiada seorang pun yang berjaya inikan Shahid,lelaki yang dikenali pendiam dan biasa-biasa sahaja. “Aku yakin lah Zul,dia jodoh aku,aku pasti akan memilikinya Zul.Aku cintakan dia sangat-sangat dan tiada erti kekalahan bila hati ini sudah mencintai” senyum Shahid menerangkan kepada Zul.Zul hanya menggelengkan kepala sahaja. Berjayakah Shahid,dia tak tahu.

“Assalammualaikum…”.Shahid memberi salam dahulu sebelum meneruskan ke perbualan seterusnya.Ketika itu Suria bersendirian membelek buku yang dipinjamnya di perpustakaan tadi.“Waalaikumsalam” balas Suria dengan melakukan memek muka seperti kurang menyenangi dengan kehadiran lelaki itu namun sebagai orang islam,tidak elok jika  sekiranya dia tidak menjawab salam. “Boleh saya bersahabat dengan awak?”Shahid senang berterus terang dengan tujuannya.“Awak nak bersahabat dengan saya?tiada lelaki ke kat sini awak nak buat kawan?”pedih kata-kata Suria namun Shahid tidak kisah,dia memang tahu sikap Suria itu namun kerana cintanya kepada Suria,tak menjadi masalah buatnya.

Baginya Suria gadis yang unik,baik hati,bukan seperti yang pelajar lelaki lain katakan,perempuan perasaan cantik, perempuan angkuh dan sebagainya. “Tak mengapalah jika begitu. Minta maaf ye mengganggu awak” sambil tersenyum,Shahid mengalah dan berundur namun bukan mengalah selamanya,hanya mengalah pada masa itu. Satu hari ketika Suria sedang menyeberangi jalan hendak ke dewan kuliah,dia dilanggar oleh sebuah motosikal. Shahid yang pada masa itu turut berada di kawasan tersebut,bergegas membantu Suria. Keadaan Suria agak parah juga dengan kesan-kesan luka besar serta kepalanya mengeluarkan darah yang banyak.Segera Shahid menahan kereta yang melalui kawasan itu ,mengendong Suria masuk ke dalam perut kereta dan mengarahkan pemandu tersebut membawa mereka ke hospital.

Shahid gelisah,hatinya sebak melihat insan yang dicintainya itu berada dalam keadaan tidak bermaya.Sampai sahaja di hospital, Suria di tolak ke dewan bedah.Saat menunggu itu,Shahid tidak putus-putus berdoa semoga Suria selamat.Selesai di dewan bedah,Suria diletakkan di wad.Syukur Suria tidak apa-apa namun dia masih belum sedarkan diri lagi. Ibu Suria pula hadir dengan kegelisahan di wajahnya dan Shahid memperkenalkan dirinya.

Selama Suria tidak sedarkan diri itu,selama itulah Shahid tak putus-putus datang melawat Suria,melihat keadaan Suria.Setiap hari selesai solat,dia tak lepas berdoa semoga Suria cepat-cepat sedarkan diri dan boleh keluar wad dengan segera.Dia mahu melihat insan yang dicintainya itu sihat  seperti biasa.

Ibu Suria begitu tersentuh melihat begitu setianya Shahid melawat dan sanggup tidak menjamah sebarang makanan selama waktu melawat anaknya itu.Betapa hebatnya kesetiaan lelaki itu kepada anaknya namun apa boleh dia lakukan, Suria pernah berkata kepadanya yang dia tak mahu berkahwin,dia bencikan lelaki.Itulah satu-satunya kedegilan anaknya yang tak mampu dia nasihati lagi.

“Shahid..pergilah makan,biar mak cik sahaja tengokkan Suria ye” ibu Suria menasihati Shahid agar dia beredar mengisi perut. “Tak mengapalah mak cik,saya tak lapar” Shahid membalas dengan senyuman.Ibu Suria tak mahu memaksa lagi kerana Shahid pasti akan menolak kerana sejak dari awal lagi dia mengenali Shahid, dia selalu begitu.

Suria telah pun sedarkan diri namun pada masa itu Shahid tidak berada di situ.Dia langsung tak pernah tahu bahawa Shahid menjenguknya dan menjaganya saban hari.Bila ibunya mahu berkata tentang Shahid, pasti dia akan cepat-cepat mengubah topik perbualan.Dia tak mahu dengar sebarang nama lelaki.

Mereka pulang sebelum sempat Shahid sampai.Dua hari itu Shahid tidak dapat menjenguk Suria kerana pada masa itu dia menduduki ujian pertengahan semester. Selama itu,Shahid sentiasa merindui Suria dan tidak sabar menunggu Suria kembali semula ke kampus.Mahu menjenguk Suria di rumahnya,dia tidak tahu pula di mana rumah Suria.

Selang seminggu,Suria kembali semula ke kampus dan ini membuatkan Shahid begitu gembira sekali. “Awak dah sihat?” Shahid tanpa memberi salam terus menyapa kerana begitu gembiranya dia.“Opocot..!” Suria melatah dengan pertanyaan yang tidak disangkanya itu daripada seorang lelaki. “Eh,awak ni sibuk-sibuk hal saya kenapa?!” lantas memarahinya kerana Suria tak suka kehadiran mana-mana lelaki yang suka menyibuk perihal dirinya.

“Kenapa awak benci sangat dengan saya? kenapa awak benci sangat dengan lelaki? apa salah kami pada awak? awak tahu tak saya cintakan awak sangat-sangat.” bertubi-tubi soalan Shahid ajukan lantas membuka isi hatinya pada Suria walaupun bukan dengan cara itu mahu dia luahkan. Suria terpempan dengan luahan hati Shahid itu. “Saya tak perlukan cinta dan lupakan saja saya!”  namun dia membalas juga kata-kata Shahid itu agar Shahid tidak lagi mengganggunya lalu segera dia beredar.

Shahid hampir berputus asa.Betul kata Zul sahabatnya itu akan layanan Suria terhadap lelaki namun kerana cintanya yang mendalam kepada Suria,dia tidak mahu berputus asa.Ada sesuatu yang telah lama dia mahu tahu kenapa Suria begitu bencikan lelaki.

Shahid membuat keputusan untuk bertanya kepada teman sebilik Suria.Tidak sukar dia mengetahui siapa teman sebilik Suria kerana Suria sering kelihatan bersama seorang pelajar perempuan itu dan tidak mustahil itu teman sebiliknya.Setelah Shahid menemui teman sebilik Suria,barulah diketahuinya bahawa punca Suria membenci lelaki kerana tidak kesetiaan ayahnya kepada ibunya.Patutlah tidak kelihatan ayah Suria semasa dia terlantar di wad dahulu dan dia pun tidak bertanya kepada ibu Suria kerana baginya,itu urusan peribadi mereka yang tak perlu dia tahu.

Satu hari Shahid berpeluang lagi menemui Suria yang sedang berehat di bangku rehat berseorangan membaca buku. “Assalammualaikum” Shahid memberi salam namun Suria lantas bangun mahu beredar.“Tunggu dulu awak! saya tahu kenapa awak begitu bencikan saya,begitu bencikan lelaki tetapi bukan semua lelaki begitu awak”.Suria tak mahu dengar apa-apa lagi,lantas dia terus pergi meninggalkan Shahid tercegat di situ.

Cuti pertengahan semester bermula.Semua pelajar pulang ke rumah masing-masing memanfaatkan cuti yang diberi tidak ketinggalan juga Suria.Bagi Suria,itulah yang ditungguinya kerana dia sentiasa mahu berada di samping ibunya.

Suatu petang itu ketika dia berehat bersama ibunya di luar rumah sambil berbuai, ibunya terus meluahkan segala yang terbuku di hatinya tentang Shahid walaupun Suria tidak mahu mendengarnya.“Suria,jika Suria sayangkan ibu,dengar dulu cerita ibu sayang” luah ibunya memujuk dengan lembut.Suria mengalah juga akhirnya kerana ugutan ibunya yang sebegitu.Seboleh-bolehnya dia tak mahu ibunya terasa hati dengan sikapnya.

“Suria..Shahid itu lelaki yang baik Suria.Dia begitu sayangkan Suria tau.Masa Suria terlantar dulu, dia tak pernah putus melawat Suria,sanggup tak menjamah makanan kerana mahu lihat Suria cepat-cepat sedar.Bukan mudah nak jumpa lelaki seperti itu Suria. Ibu tahu Suria marahkan ayah,bencikan ayah tetapi tak bermakna Suria boleh  menghukum semua lelaki sampai macam itu.Ibu dah memaafkan ayah,kenapa Suria tidak boleh memaafkan ayah sepertimana ibu memaafkan ayah?, itu salah ayah biar Allah sahaja yang menghukumnya, kita tak berhak menghukumnya.Ibu tahu,Suria sayangkan ibu sangat-sangat,ibu pun sayang sangat-sangat dengan Suria,ibu juga sayangkan ayah Suria tapi jika itu dah ketentuan-Nya,ibu redha Sayang” ibu berkata dalam nada sebak serta mengalirkan air mata.

“Ibu jangan menangis ibu,Suria tak mahu lihat air mata ibu lagi.Suria sayangkan ibu.Suria minta maaf ibu”dalam esak tangis Suria memeluk erat ibunya.Kedua beranak itu saling berpelukan dan teresak-esak.

Betul kata ibunya itu,dia tak patut menghukum semua lelaki kerana perbuatan ayahnya.Kembali ke kampus nanti,dia akan mencari Shahid, mahu memohon maaf kepada lelaki itu di atas kekasarannya selama ini serta berterima kasih bersusah payah menjaga dia semasa dia terlantar di wad dulu.

Dia mula akui,hatinya telah terpaut kepada Shahid namun selama ini dia menolak perasaan itu.Sampai sahaja di kampus,orang pertama dia mahu temui adalah lelaki yang mencintai dia dan dia juga mencintai lelaki itu.Suria bernasib baik apabila dia terserempak dengan Shahid pada masa itu.

“Assalammualaikum” Suria memberi salam dengan senyuman.“Waalaikumsalam” balas Shahid namun tidak membalas senyuman yang dilemparkan oleh Suria itu. “Boleh saya berkawan dengan awak?”tanya Suria.Segera Shahid memulangkan kata-kata Suria dulu kepadanya. “Awak nak bersahabat dengan saya?tiada perempuan ke kat sini awak nak buat kawan?”sebenarnya Shahid sengaja mahu mengusik Suria.Dia tidak pernah marah atau berdendam pada Suria dengan layanan Suria kepadanya suatu masa lalu.Wajah Suria merah,malu diperlakukan begitu namun dia tidak terus beredar.

“Tak mahu kawan tak mengapalah, minta maaf ye mengganggu.Saya pergi dulu” Suria melangkah pergi namun segera Shahid menghalang. “Pandainya awak merajuk ya .Saya bergurau jelah tadi. Em,saya tak sangka awak memiliki senyuman yang manis tau,manis macam pokok tebu”.seloroh Shahid lantas memecah derai kedua-duanya.

Suria mula akui kata-kata ibunya,bukan semua lelaki begitu.Setelah tamat belajar dan bekerja, Suria dan Shahid mendirikan rumahtangga. Mereka dikurniakan sepasang kembar yang comel yang lelakinya bernama Muhammad Shauqi Iman dan yang perempuannya bernama Nur Safwa Insyirah.Mereka hidup bahagia selamanya dengan penuh keharmonian.Shahid begitu setia dan terlalu sayangkan isterinya Suria dan begitu juga Suria terhadap Shahid.Ibunya telah pulang ke rahmatullah namun sempat melihat cucu-cucunya.

Kini Suria tidak lagi membenci ayahnya malahan dia sentiasa menjaga kebajikan ayahnya.Kata-kata arwah ibunya masih dia pegang, hanya Allah sahaja berhak menghukum kesalahan manusia itu.Dia menjadikan arwah ibunya sebagai idola dalam menguruskakan rumahtangga.Dia mengambil sifat ibunya yang baik hati, tabah dan berjiwa lembut.

                                                
            

1 comment:

  1. Cerpen ini dibuat pada tahun 2008..sudah 4 tahun diperam :-)

    ReplyDelete